Review Movie "Dear Zindagi" (@nanamie95)

Surat Cinta Untuk Diri: Filem Penuh Inspirasi "Dear Zindagi" 



Filem: Dear Zindagi

Pengarah: Gauri Shinde

Pelakon: Alia Bhatt, Shah Rukh Khan, Kunal Kapoor, Ali Zafar, Angad Bedi, Aditya Roy Kapur, Yashwasini Dayama & Ira Dubey

Sinopsis: Mengisahkan watak Kaira (Alia), seorang gadis berbakat besar dalam dunia perfileman. Perwatakkan dia adalah seorang yang energetik, profesional tetapi agak kebudak-budakkan. Walaupun banyak menghasilkan iklan serta projek kecil, dia sentiasa berazam untuk menghasilkan filem terbitannya yang tersendiri. Namun begitu, hidupnya telah diuji dengan ujian demi ujian yang membawa kepada dia mempunyai masalah emosi dan insomnia. Dia telah berjumpa dengan Dr. Jehangir Khan (Shah Rukh Khan), seorang psikologist yang mempunyai cara rawatannya yang tersendiri. 

    Sebagai penonton, kita akan menyelami sedikit demi sedikit latar hidup Kaira yang mampu membuat kita bersimpati akan nasib dia. Lakonan mantab serta detik-detik bermakna antara Alia dan Shah Rukh Khan pasti akan mengukir senyuman dan mengeluarkan air mata ketika menonton filem ini. 

Rating Nanamie: 

Soundtrack: 6 / 10 

Filem: 7.5 / 10 (Memberi inspirasi, fresh, lakonan yang mantab, mesej yang baik)

Trailer Movie "Dear Zindagi"


Soundtrack Movie "Dear Zindagi"


    Hanya terdapat 8 soundtrack bagi filem ini. Lagu yang aku suka dan mempunyai maksud yang agak bermakna adalah "Love You Zindagi" dan "Taarefon Se". Lagu yang soothing dan ada vibe santai amat sesuai dengan tone filem ini. Tapi sayangnya lagu yang lain di dalam soundtrack ini tidak mempunyai kesan yang mendalam seperti lagu ini. Disebabkan itu, Rating Nanamie untuk soundtrack filem ini hanya 6 / 10.


Kritikan (Spoiler Alert!)

    Pada pendapat aku, babak sebelum Kaira berjumpa dengan Dr. Jehangir Khan membuatkan aku semakin hilang minat untuk terus menonton filem ini. Jalan cerita yang agak membosankan dan karakter Kaira yang tidak matang membuatkan aku hilang minat. Namun begitu, setelah Kaira mula berjumpa dengan Dr. Jehangir Khan, tone cerita telah berubah ke arah positif. Babak demi babak dalam cerita ini semakin menarik dan terdapat beberapa scene yang agak menyentuh hati aku.

Tema

Isu masalah kesihatan mental / psikologi merupakan tema utama filem ini.

    Psikologi Kaira semakin terganggu dek kerana satu demi satu masalah timbul dengan berturut-turut. Dia telah membuat pengakuan bahawa dia telah curang dengan teman lelakinya yang sangat baik. Dia telah jatuh hati dengan rakan sekerjanya Raghuvendra (Kunal Kapoor) kerana gaya lelaki itu yang sangat mengambil berat akannya dan seolah-olah memberikannya harapan. Namun begitu, Kaira telah mengetahui bahawa Raghuvendra telah bertunang dan dia akan bekerja bersama-sama dengan lelaki itu dan tunangnya. Semasa masih dalam dilema, tuan rumah Kaira telah memberikan notis pengosongan atas sebab yang tidak masuk akal, Kaira seorang yang bujang. Hal ini menyebabkan Kaira terpaksa berpindah dan tinggal di rumah ibubapanya di Goa. Sebelum diceritakan mengenai sejarah zaman kanak-kanaknya, kita tertanya-tanya mengapa Kaira amat membenci ibubapanya. Klimak kesihatan mental Kaira adalah pada majlis sambutan kepulangan adiknya, Kiddo (Rohit Suresh Saraf). Ibubapanya dan pak cik dan mak ciknya yang suka memaksa, memerli dan cakap lepas di hadapannya telah membuatkannya sentap. Kaira akhirnya telah meluahkan segala yang terbuku di hatinya sebelum melarikan diri dari rumah ibubapanya itu. 

    Gaya penyampaian serta beberapa peristiwa yang akhirnya membawa kepada watak Kaira sentap dan meluahkan segalanya semasa majlis sambutan kepulangan adik lelakinya berjaya disampaikan dengan sangat baik. Kuddos kepada penulis script, direktor dan pelakon kerana berjaya menghasilkan babak tersebut dengan jayanya. Setiap dialog yang diucapkan memberi kesan dan secara tidak langsung seolah - olah watak Kaira ini meluahkan apa yang terkandung dalam jiwa orang yang sentiasa memendam perasaan. 

Prinsip Kehidupan

Terdapat beberapa mesej kehidupan yang telah disampaikan melalui watak Dr. Jehangir Khan. Antaranya ialah 

1. "Don't let the past blackmail your present to ruin a beautiful future"

Maksudnya, "Jangan biarkan masa lalu mu mengugut masa sekarang dan menhancurkan masa depan mu yang indah."

    Apa yang dikatakan amat tepat. Kita tidak akan dapat putarkan masa untuk tidak melakukan kesalahan atau kesilapan masa lalu kita. Ramai di antara kita yang sama ada sedar atau pun tidak, telah membiarkan masa silam terus menghantui hidup kita sehingga menjadikan diri kita kurang gembira. Kita perlu belajar dari kesilapan dan cuba untuk telan masa silam kita walaupun pahit. 

2. "You usually think that you need to choose a difficult path to succeed. Why not try the easy way? It it easier and you will succeed anyway."

Maksudnya: "Kita selalu beranggapan bahawa kita perlu memilih jalan yang susah untuk berjaya. Kenapa tidak kita cuba jalan yang mudah? Lebih senang dan kita pasti akan berjaya."

    Aku agak kurang setuju dengan pendapat ini. Pada aku, memang tidak salah untuk pilih jalan yang lebih mudah dan senang untuk kita berjaya dan salah sekiranya kita terlalu memaksa diri sendiri sehingga kita tidak berfikiran terbuka. Namun begitu, kita tidak boleh ambil mudah sesuatu perkara. Jalan tengahnya mungkin adalah menilai baik buruk sesuatu tindakan sebelum memilih jalan yang terbaik untuk kita.

3. "There are different types of relationships: the gossip relationships, the coffee-table relationship and much more. Expecting everything from one single relationship is a bit unfair."

Maksudnya, "Ada banyak jenis hubungan: pasangan gosip, pasangan berlepak dan sebagainya. Olwh itu, agak tidak adil untuk terlalu mengharapkan semua jenis hubungan pada satu pasangan."

    Ramai pasangan mengharapkan hubungan yang sempurna. Mereka mengharapkan pasangan mereka hebat dalam semua perkara. Agak tidak adil bagi pasangan kerana mereka juga insan biasa yang penuh dengan kelemahan diri. Atas sebab itulah pasangan hidup adalah orang yang saling melengkapi antara satu sama lain.

4. "Why not say a Goodbye to our fears and say Hi to our life?"

Maksudnya: "Kenapa tidak kita katakan Selamat Tinggal pada rasa takut dan Hai pada kehidupan kita?"

Ayat ini mempunyai maksud yang agak dalam bagi seseorang yang sentiasa membiarkan hidupnya di dalam tekanan. Kita perlu belajar untuk memaafkan diri dan  mencintai diri kita sendiri.

5. "A genius is not person who knows all answers, but who is patient enough to find the answers."

Maksudnya: "Orang yang bijaksana bukanlah orang yang tahu semua jawapan, tetapi orang yang sabar dalam mencari jawapan."

    Okay, aku setuju. Kita selalu nampak seseorang itu semasa dia telah berjaya. Kita tidak pernah nampak susah payah seseorang itu sebelum dia berjaya. Pada pemikiran kita, orang yang hebat adalah orang yang tahu semua perkara, walhal orang yang hebat sebenarnya adalah yang paling sabar dan tidak berputus asa dalam mencapai sesuatu yang diimpikan.

6. "It only creaks when you really like someone, but can't do anything about it."

Maksudnya: Ia hanya bergetar apabila kita betul-betul sayangkan seseorang itu, tetapi tidak dapat membuat apa-apa mengenai perasaan itu."

    Ayat ini dinyatakan kerana Kaira telah jatuh hati pada Dr. Jehangir Khan. Beliau telah menasihati Kaira bahawa perasaan ini adalah normal dan meluahkan perasaan pada orang yang kita suka pun adalah normal. Lebih baik kita luahkan daripada memendam perasaan dan sentiasa dalam tekanan.

7. "I am not saying that you should forgive your parents or to stop feeling angry, you do as you wish."

Maksudnya: "Saya tidak mengatakan bahawa kamu perlu maafkan ibubapa mu atau berhenti daripada rasa marah mu kepada mereka, kamu buat apa yang kamu rasa betul."

    Ayat ini perlu diletakkan dalam konteks. Dr. Jehangir Khan memberi nasihat ini pada Kaira setelah beliau mengetahui trauma zaman kanak-kanak Kaira dan bagaimana ibubapa Kaira memberikan layanan yang tidak adil pada dia. Beliau memberikan nasihat ini kerana beliau percaya, jauh dalam sudut hati Kaira, dia ingin merasakan kasih sayang daripada ibubapanya dan mahu mereka menerima dirinya seadanya.

8. "Always Recycle" dan "Find Your Chair"

Maksudnya: "Sentiasa kitar semula" dan "Cari Kerusimu"

    Aku gabungkan dua perkara ini kerana ianya saling berkaitan. Always recycle mengetengahkan isu jangan kita terus membuat sesuatu yang telah rosak, sebaliknya cuba untuk kitar semula sesuatu itu sama ada kembali pada asal atau menjadi lebih baik. Find your chair pula lebih kepada mencari sesuatu yang kita selesa dan mampu membuatkkan kita sentiasa menjadi diri sendiri. Kedua-dua gaya pemikiran ini boleh diterapkan dalam kehidupan seharian kita dan bukan hanya tertumpu pada kisah percintaan.   

Kesimpulan

    Secara kesimpulannya, filem ini mengajar kita untuk cintakan diri sendiri dan memaafkan diri atas segala kesilapan yang telah dilakukan. Cerita ini sesuai ditonton oleh umum, terutamanya bagi seseorang yang ingin mencari makna kehidupan. 

Soalan Lazim

1. Adakah Dear Zindagi berdasarkan cerita sebenar?

Filem ini bukanlah dari cerita sebenar. Namun begitu, ianya adalah filem yang terinspirasi daripada kisah-kisah sebenar kehidupan orang yang mempunyai masalah kesihatan mental.

2. Apakah teladan filem Dear Zindagi?

Pentingnya menjaga kesihatan mental serta bantuan orang sekeliling untuk membantu seseorang yang mempunyai masalah kesihatan mental. Sekiranya masalah kesihatan badan, semua orang akan kata sila jumpa doktor atau makan/minum ubat ini, tetapi soal masakah kesihatan mental, semua orang diam dan takut untuk bersuara. Filem ini cuba untuk mengetengahkan kurangnya kesedaran orang ramai dalam isu ini dan pentingnya penjagaan kesihtan mental ini. 

3. Siapakah pelakon pilihan pertama bagi memegang watak Kaira? 

Mengikut sumber carian di Internet, watak Kaira sepatutnya dilakonkan oleh Katrina. Namun begitu, Shah Rukh Khan telah meminta agar Alia Bhatt yang memegang watak tersebut.

4. Dimanakah pengambaran filem ini dilakukan?

Pengambaran filem ini telah dilakukan di dua tempat utama iaitu Mumbai dan Goa. 



Antara babak di dalam filem:






Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ALAMAK! Kad kena telan dengan mesin ATM. Nak buat apa? (@nanamie95)

Uncle Kentang "Kenapa Dipanggil Uncle Kentang?"

KEPERLUAN & REVIEW Produk Kucing (@nanamie95)